News & Articles Radium labur RM135 juta bangun hotel 4 bintang di Chancery Ampang

Radium labur RM135 juta bangun hotel 4 bintang di Chancery Ampang


9 Jun 2026
Radium labur RM135 juta bangun hotel 4 bintang di Chancery Ampang
KUALA LUMPUR: Radium Development Bhd melabur RM135 juta bagi membangunkan komponen hospitaliti pertama kumpulan itu menerusi pembukaan The Face Chancery Hotel di pembangunan bercampur Chancery, Ampang.

Hotel bertaraf empat bintang yang dijadualkan mula beroperasi pada 2028 itu menandakan pembabitan sulung Radium dalam sektor hospitaliti sebagai sebahagian daripada strategi memperkukuh sumber pendapatan berulang selain perniagaan pembangunan hartanah.

-Advertisement-
Daripada jumlah pelaburan itu, RM109.3 juta diperuntukkan daripada hasil penyenaraian awam permulaan (IPO) syarikat pada 2023.

Pengarah Urusan Kumpulan Radium, Datuk Gary Gan Kah Siong, berkata hotel berkenaan akan melengkapkan ekosistem pembangunan Chancery yang dirancang sebagai destinasi yang menggabungkan elemen kediaman, komersial dan hospitaliti dalam satu lokasi.

Katanya, projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM500 juta itu akan membawa segmen permintaan berbeza termasuk pengembara perniagaan, pelancong dan tetamu jangka panjang yang seterusnya menyokong aktiviti keseluruhan pembangunan.

"Pada masa sama, ia merupakan langkah strategik untuk membina sumber pendapatan berulang yang dapat melengkapi perniagaan hartanah syarikat dalam jangka panjang," katanya ketika majlis memperkenalkan kerjasama strategik Radium dan The Face Hospitality, di sini, hari ini.

Beliau menambah, komponen hotel dalam pembangunan itu bukan perancangan baharu, sebaliknya telah dimasukkan dalam pelan asal projek sejak peringkat IPO syarikat.

"Sejak hari pertama lagi, kami sudah merancang untuk mempunyai komponen hotel dalam pembangunan ini. Ketika proses IPO, kami memaklumkan kepada pelabur mengenai rancangan itu dan daripada kira-kira RM400 juta dana yang berjaya dikumpul, sekitar satu perempat diperuntukkan bagi pembangunan hotel," katanya pada sidang media selepas majlis pengumuman kerjasama strategik antara Radium dan The Face Hospitality.

The Face Chancery Hotel akan menempatkan 145 bilik yang merangkumi konfigurasi Super King, Queen, bilik mesra orang kurang upaya (OKU) dan bilik bersambung, serta akan beroperasi di aras 10 hingga 14 dalam bangunan setinggi 51 tingkat itu.

Radium menjangkakan kadar penghunian hotel berkenaan mencecah antara 55 hingga 65 peratus dalam tempoh tiga tahun pertama operasi, dengan unjuran hasil tahunan sekitar RM20 juta menjelang tahun ketiga.

Mengulas mengenai pemilihan lokasi, Kah Siong menjelaskan Ampang yang terletak di kawasan Embassy Row Kuala Lumpur semakin berkembang sebagai kawasan kediaman dan komersial, namun masih mempunyai pilihan hotel berjenama yang terhad.

Hotel itu bakal dilengkapi restoran makan sepanjang hari, ruang makan tepi kolam, kolam renang infiniti, gimnasium dan bilik mesyuarat.

Selain itu, bilik hotel direka dengan keluasan lebih besar berbanding kebanyakan hotel bandar bagi memenuhi keperluan pengembara korporat, pelawat jangka panjang dan pelancong dengan kemudahan lain yang disediakan termasuk sistem daftar masuk digital, kawalan pintar dalam bilik serta dispenser air panas dan sejuk bagi mengurangkan penggunaan plastik sekali guna.

Bagi mengendalikan operasi hotel itu, anak syarikat Radium iaitu Tradisi Emas Sdn Bhd melantik The Face Hospitality sebagai rakan perunding hospitaliti yang akan terbabit dalam aspek penjenamaan, perancangan reka bentuk, operasi dan strategi pasaran.

Pengurus Besar Kluster The Face Hospitality, Jason S'ng, berkata projek berkenaan mempunyai potensi untuk memenuhi permintaan sektor perniagaan dan pelancongan di Kuala Lumpur susulan lokasinya yang strategik di koridor Ampang.

"Pembangunan itu terletak kira-kira 500 meter dari Stesen MRT3 Tasik Ampang yang dicadangkan, sekali gus dijangka meningkatkan tahap aksesibiliti kepada penghuni, tetamu hotel dan pengunjung kawasan komersial pada masa hadapan.

"Kerjasama itu turut memanfaatkan pengalaman dan kedudukan jenama The Face Hospitality dalam industri hospitaliti tempatan," katanya.

Source: bharian.com.my

Latest Posts
  • Industri hartanah perlu utamakan pemeliharaan ekologi - Nga

  • Treating homes as investments impedes affordability of homeownership

  • Radium labur RM135 juta bangun hotel 4 bintang di Chancery Ampang

  • KRI calls for housing finance overhaul as long loan tenures push up household debt risk

  • Projek KL360 @ Menara GD berjaya dipulihkan semula