Stellaris tampil elegan, pelengkap pembangunan tiga fasa Riana Dutamas
KUALA LUMPUR: Dalam landskap hartanah semasa, keyakinan pembeli tidak lagi bergantung pada janji semata-mata, sebaliknya dipacu oleh pencapaian yang boleh dilihat dan dinilai.
Projek yang berjaya disiapkan, standard pembinaan yang terbukti, kadar penghunian yang stabil serta komuniti yang berkembang menjadi penanda aras penting terhadap kekuatan sesebuah pembangunan selepas dilancarkan.
Nilai itu ditawarkan Riana Dutamas, pembangunan kediaman pegangan bebas di Segambut hasil kerjasama IJM Land dan FCW Holdings Bhd.
Menerusi tiga fasa berbeza iaitu Savio, Savvy dan Stellaris, projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM1.95 bilion telah berkembang sebagai alamat bandar yang semakin matang, lengkap dengan akses strategik berhampiran Mont Kiara, Solaris Dutamas dan hab utama Kuala Lumpur.
Riana Dutamas kini tampil dengan Stellaris, fasa terakhir pembangunannya yang menawarkan pengalaman kehidupan bandar menerusi gabungan spesifikasi yang lebih baik, susun atur fleksibel, kemudahan gaya hidup serta elemen runcit yang memudahkan urusan harian.
Ketua Pegawai Operasi IJM Land, Datuk Chai Kian Soon, berkata Stellaris dibangunkan dengan mengambil kekuatan yang telah terbukti menerusi dua fasa sebelumnya iaitu Savio dan Savvy, sambil memperkenalkan pengalaman kediaman yang lebih moden dan lengkap.
"Sebagai fasa terakhir Riana Dutamas, Stellaris menghimpunkan elemen unggul daripada susun atur fleksibel dan spesifikasi yang dipertingkatkan hinggalah kemudahan gaya hidup serta akses harian yang lebih mudah, ciri-ciri yang diperlukan pembeli hari ini dalam satu alamat yang diyakini dan terus berkembang," katanya.
Berteraskan kejayaan Savio dan Savvy, Stellaris tampil sebagai pelengkap pembangunan tiga fasa Riana Dutamas.
Dibangunkan di atas tanah pegangan bebas seluas kira-kira 2.3 hektar dengan GDV sekitar RM784 juta, Stellaris menawarkan 1,143 unit kediaman servis yang disasarkan kepada pemilik rumah dan pelabur moden.
Unit yang ditawarkan berkeluasan antara 766 kaki persegi hingga melebihi 1,206 kaki persegi, meliputi pilihan dua bilik tidur, tiga bilik tidur dan konfigurasi dwi-kunci.
Dengan harga bermula RM450,000, Stellaris menawarkan peluang pemilikan yang lebih mudah diakses dalam lokasi strategik berhampiran hab utama Kuala Lumpur.
Stellaris turut memperhalusi pengalaman kediaman menerusi spesifikasi yang lebih baik dan penggunaan ruang yang lebih tersusun.
Setiap unit hadir dengan balkoni peribadi, sementara susun atur tertentu direka untuk memberikan pencahayaan dan pengudaraan yang lebih baik bagi keselesaan harian.
Pilihan unit dwi-kunci pula menawarkan fleksibiliti kepada keluarga pelbagai generasi, gaya kerja hibrid dan pembeli yang melihat potensi pelaburan jangka panjang.
Bagi melengkapkan pengalaman kehidupan bandar yang lebih menyeluruh, Stellaris turut menampilkan konsep runcit dan dewan makanan bersepadu dalam pembangunan itu.
Kewujudan premis makanan dan minuman (F&B), farmasi serta kedai runcit dijangka memudahkan urusan harian penghuni, sekali gus membentuk suasana kediaman yang lebih praktikal, selesa dan berorientasikan gaya hidup moden dalam Riana Dutamas.
Selain kemudahan harian, hubungan dan aksesibiliti terus menjadi kelebihan utama pembangunan itu.
Penghuni memiliki akses mudah ke lebuh raya utama seperti Lebuhraya Duta - Ulu Kelang (DUKE), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), membolehkan perjalanan lebih lancar ke pusat bandar Kuala Lumpur, Mont Kiara, Solaris Dutamas dan pelbagai kawasan komersial utama lain.
Kemudahan pengangkutan awam turut memperkukuh aspek kesalinghubungan di Stellaris.
Pembangunan itu dilengkapi laluan berbumbung yang menghubungkan terus ke Stesen KTM Segambut, hanya kira-kira 150 meter dari kediaman, sekali gus memudahkan akses ke rangkaian rel Kuala Lumpur.
Bagi meningkatkan lagi kemudahan harian, penghuni turut disediakan perkhidmatan shuttle percuma ke stesen MRT berhampiran dan lokasi tumpuan sekitar menerusi jadual tetap pada hari bekerja serta hujung minggu.
Penawaran perkhidmatan shuttle GoKL di kawasan sekitar membantu meluaskan lagi akses ke hab pengangkutan dan destinasi utama bandar.
Gabungan kemudahan itu menjadikan Stellaris bukan saja lebih praktikal untuk didiami, malah memiliki daya tarikan kukuh dari sudut sewaan dan potensi nilai masa depan.
Source: bharian.com.my